<$BlogDateHeaderDate$>
Kepentingan 1 Jam Pertama Menyusu
Kepentingan 1 jam pertamaKepentingan 1 jam pertama Oleh Tajaiyah Ihsan KEBAIKAN dan kelebihan susu ibu tidak ternilai. Malah ia merupakan anugerah semula jadi seorang ibu untuk anaknya. Biarpun keistimewaannya diketahui umum, kesedaran tentang kebaikannya terus dipupuk dari semasa ke semasa agar penyusuan ibu ini menjadi pilihan semua. Tidak ada alasan yang kukuh mengapa seorang ibu tidak memberikan susu badan terhadap anaknya. Tindakan itu seolah-olah menafikan hak seseorang anak yang begitu memerlukannya. Kelebihan susu ibu juga disebut di dalam surah al-Baqarah yang menyebut, “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak- anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.’’ Justeru adalah sesuatu yang merugikan sekiranya peluang itu dilepaskan begitu sahaja. Pengerusi Jawatankuasa Penyusuan Susu Ibu, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang juga Timbalan Pengarah (Ikhtisas) Prof. Dr. Jamiyah Hassan berkata, penyusuan ibu ini akan lebih bermakna sekiranya suami juga turut sama memberi galakan dan dorongan kepada isteri. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Sambutan dan Forum Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia PPUM, Rabu lalu. Bagaimanapun ujar beliau, sejak kebelakangan ini penglibatan suami dalam menjayakan program seperti ini semakin ketara khususnya daripada golongan muda. Jelasnya, forum ini antara lain diharapkan memberi kesedaran kepada ibu-ibu, warga kerja, majikan dan masyarakat mengenai kepentingan penyusuan ibu dalam masa satu jam selepas bersalin dan meneruskannya sekurang-kurangnya enam bulan pertama dan jika boleh sehingga bayi berusia 2 tahun. Secara khususnya, diharapkan dapat mewujudkan suasana kerja yang berkonsepkan Mesra Bayi atau Baby Friendly. Pada waktu yang sama meyakinkan ibu-ibu meneruskan penyusuan walaupun menghadapi pelbagai masalah. Selain mengadakan forum ilmu seperti ini, di PPUM sendiri, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan bengkel-bengkel keibubapaan. ‘‘Kami mahu membimbing mereka, ia lebih kepada kemahiran keibubapaan dan bagaimana ibu bapa memahami perihal bersalin dan penyusuan ibu,’’ jelas Dr. Jamiyah lagi. Katanya, jumlah penyertaan yang mengikuti bengkel Parent’s Craft ini, sejak diadakan tahun lalu adalah melebihi 400 orang pasangan terdiri daripada pelbagai bangsa dan usia. Suami memainkan peranan penting di dalam kejayaan seseorang itu menyusukan anaknya. Justeru mereka juga perlu mendapat pengetahuan mengenai penyusuan ibu dan mampu menjadi pendorong kepada isteri. ‘‘Kalau pada tahun lalu, ada juga peserta ditemani oleh ibu atau ibu saudara, nampaknya pada tahun ini, lebih 90 peratus peserta yang hadir ditemani suami. “Walaupun pasangan ibu bapa ini dalam usia yang muda tetapi pemahaman mereka terhadap kepentingan penyusuan ibu adalah tinggi,” ujar Dr. Jamiyah lagi. Bengkel Parent’s Craft ini diadakan dua kali sebulan pada hari Sabtu, sepanjang tahun dan pada satu-satu masa 30 hingga 35 pasangan hadir di bengkel tersebut. Ujar Dr. Jamiyah lagi, bagi memastikan matlamat penyusuan ibu tercapai, pihaknya juga memastikan mereka yang terbabit termasuk jururawat dan doktor di wad kanak-kanak dan perbidanan dan sakit puan mendapat latihan dan pengetahuan yang secukupnya. Hampir kesemua mereka telah menjalani kursus laktasi selama 18 jam. Walaupun begitu, pihaknya tidak mengenakan sebarang peraturan yang mewajibkan pasangan hadir ke bengkel Parent’s Craft. Apa yang disarankan, ibu-ibu menyusukan secara eksklusif terhadap anak mereka selama enam bulan (seratus peratus susu ibu) dan seterusnya sehingga dua tahun. Bagaimanapun usaha dijalankan untuk meyakinkan ibu bahawa ia tiada mustahil untuk dilakukan. Selain ibu kandung, seorang ibu angkat juga boleh menyusukan anak angkatnya menjadi anak susuan. Hari ini semakin ramai ibu angkat berjaya menjadi ibu susuan, biarpun mengalami masalah. Pada forum ini, pihaknya telah memberi anugerah kepada sepuluh orang wanita yang berjaya menyusukan anak mereka secara eksklusif termasuk ibu susuan. Forum yang bertemakan ‘Penyusuan Susu Ibu: 1 Jam Pertama, Menyelamatkan 1 juta bayi’ berjaya menarik melebihi 200 peserta dengan empat penceramah membentang kertas kerja. Mereka terdiri daripada Felo Kanan UMBI, UKM, Prof. Madya Dr. Syed Zulkifli Syed Zakaria, dengan tajuk yang sama, kaunselor Laktasi, Che Aini Abd. Razak dengan ‘Peranan Majikan ke Arah Kejayaan Penyusuan Susu Ibu’ dan bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz dengan ‘Menjamin Sahsiah dan Hubungan Sesama Manusia’. Dua penceramah lain terdiri daripada Pengurus IT Rita Rahayu dan Penolong Pengarah Jabatan Keselamatan & Tadbir Kaflina Kamalul Ariffin menceritakan mengenai ‘Penyusuan Susu Ibu, Pengalaman dan Cabaran Ibu Berkerjaya Ke Arah Kejayaan Penyusuan Susu Ibu’. Dr. Jamiyah berkata, yang menariknya terdapat banyak kumpulan sokongan yang bekerjasama dengan pihak hospital bagi menjadikan matlamat ini satu kenyataan. Penyusuan Susu Ibu: 1 Jam Pertama, Menyelamatkan 1 Juta Bayi. Kepentingan 1 jam pertama * Kolostrum mengandungi kesemua nutrien termasuk IgA yang diperlukan bayi (bayi memerlukan khasiat kolostrum walaupun dalam jumlah yang sedikit di saat kelahirannya) serta bertindak sebagai imunisasi pertama bayi. * Membantu menghasilkan susu yang secukupnya kepada bayi bagi keperluan penyusuan yang seterusnya. * Tindakan refleks semasa proses penghisapan (yang amat kuat dalam tempoh satu jam pertama selepas kelahiran) membantu bayi melekap ke payudara dengan sempurna. * Menghalang ibu daripada mengalami pendarahan selepas bersalin. * Sentuhan kulit ibu dan bayi semasa proses penyusuan ibu membantu mengekalkan suhu badan bayi terutama yang lahir pramatang dan kurang berat lahir. Dr. Jamiyah memetik kata-kata yang dibentangkan oleh Prof Madya Syed Zulkifli, ‘‘Janganlah hari ini kita menangguh hasrat menyusukan bayi. Biarpun banyak perkara boleh ditangguhkan tetapi tidak untuk anak-anak kerana pada masa inilah tulangnya terbentuk, darahnya terhasil dan derianya merasa.’’ Kebaikan susu ibu Susu ibu bukan sahaja menyediakan kesemua zat protein, gula, lemak dan vitamin yang diperlukan bayi untuk menjadikannya sihat tetapi faedah-faedah lain yang tidak terdapat dalam susu formula. Ia membantu melindungi bayi daripada serangan sesetengah penyakit dan jangkitan. Disebabkan bahan-bahan perlindungan yang terdapat di dalam susu ibu inilah, anak-anak susuan ibu jarang diserang penyakit serta menghadapi masalah ini. Antaranya, jangkitan dalam telinga, alahan, muntah, cirit-birit, radang paru-paru, bunyi ronkus, bronkitis dan meningitis. Lain-lain kebaikan susu ibu, mudah dihadam bayi, tidak perlu disediakan malah boleh diberi pada bila-bila masa saja, tidak memerlukan perbelanjaan serta bagus untuk alam sekitar kerana tidak menggunakan botol, tin dan kotak. Melindungi ibu & anak Sementara itu, Dr. Syed Zulkifli pula menambah, apa yang menarik mengenai penyusuan ibu juga ialah sentuhan fizikal ibu dan anak yang mampu mengeratkan kasih sayang. Beliau menambah, ia melindungi ibu dan penting untuk kesihatan ibu, menjarakkan kehamilan dan tiada kos bagi susu ibu. Proses penyusuan ini juga mampu membakar banyak kalori dan membantu mengembalikan semula berat badan dengan lebih cepat, mengurangkan risiko mendapat kanser ovari dan membina kekuatan tulang. Bagaimanapun menyusukan bayi sahaja tidak semestinya bermakna menghalang kehamilan. Selain itu, ia juga membantu rahim mengecut dan kembali kepada saiz asalnya dengan lebih cepat. Menurut Dr. Zulkifli lagi, penyusuan susu ibu juga melindungi bayi daripada penyakit kronik seperti penyakit alahan dan asma. Beliau berkata dengan penyusuan ibu ini, bererti wanita telah berjaya mengurangkan kos dalam perbelanjaan rumah tangga kerana tidak memerlukan modal. Jelas Dr. Syed Zulkifli, ibu-ibu boleh meninggalkan susu sendiri di dalam botol-botol dan disimpan di dalam peti sejuk di bahagian bawah atau dingin beku bergantung kepada masa ia diperlukan. Susu ini boleh digunakan oleh anak walaupun ibu berada di tempat kerja. Susu juga boleh dicairkan perlahan dalam bekas air suam. Dapatkan nasihat pakar atau kaunselor mengenainya. ‘‘Perlu diingat, susu ibu tidak boleh dicairkan dengan dididih atau direndam dengan air panas, kerana ia akan menghilangkan zat-zat yang tertentu,’’ jelas Dr. Syed Zulkifli lagi. Susu ibu juga tidak boleh dicairkan di dalam ketuhar gelombang mikro atau di atas dapur kerana ia boleh menjejaskan khasiat susu dan kepanasannya pula mencederakan bayi. Semua wanita boleh menyusukan bayi mereka dan pastikan 1 jam pertama dan seterusnya itu tidak dipersiakan begitu sahaja sahaja kerana khasiat susu awal itu atau kolostrum. Beliau juga berharap pihak majikan menyediakan ruang atau tempat ‘mesra wanita’ bagi ibu-ibu memerah susu dan menyimpan di peti sejuk sebelum pulang ke rumah. ‘‘Ini juga membuat pekerja wanita berasa selesa dan tenang dalam menjalankan tanggungjawabnya di pejabat,’’ kata Dr. Syed Zulkifli lagi. Kepada wanita di luar Polisi penyusuan susu ibu Semua ibu digalakkan menyusui anaknya dengan susu ibu sahaja dari lahir sehingga berumur enam bulan dan meneruskannya sehingga mencapai umur dua tahun. Makanan pelengkap perlu dimulakan semasa anak berumur enam bulan. |